Saturday, 7 January 2012

Iman






Daripada Umar RA, beliau berkata:

Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang sangat putih bajunya, sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan padanya tanda-tanda perjalanan jauh, dan tiada seorangpun di antara kami yang mengenalinya, sehingga dia duduk di hadapan Rasulullah SAW. Lalu dia merapatkan lututnya ke lutut Rasulullah SAW dan meletakkan dua tapak tangannya di atas dua pahanya.

Dia segera berkata, “Wahai Muhammad, ceritakan kepadaku tentang Islam.” Lalu Rasulullah SAW menjawab, “Islam itu ialah kamu menyaksikan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah Pesuruh Allah, kamu mendirikan Solat, mengeluarkan Zakat, dan menunaikan Haji jika kamu mampu mengerjakannya.” Lelaki itu berkata, “Benarlah kamu!” Kami merasa hairan terhadapnya, dia bertanya dan dia juga yang membenarkannya.

Lelaki itu berkata lagi, “Ceritakan kepadaku tentang Iman.” Lalu Baginda SAW bersabda, “Bahawa kamu beriman kepada Allah, para Malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya, Hari Kiamat dan kamu beriman dengan ketentuan Baik dan Buruk-Nya.” Lelaki itu berkata, “Benarlah kamu!” 

Dia berkata lagi, “Ceritakan kepadaku tentang Ihsan.” Lalu Baginda SAW menjawab, “Bahawa kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihatnya. Jika kamu tidak melihatnya, sesungguhnya Allah melihat kamu.” Lelaki itu berkata, “Benarlah kamu!

Dia berkata lagi, “Ceritakan kepadaku tentang Hari Kiamat.” Lalu Baginda SAW menjawab, “Orang yang ditanya tidak lebih mengetahui daripada orang yang bertanya (maksudnya kedua-duanya tidak tahu bila berlakunya Hari Kiamat).” 

Lelaki itu berkata lagi, “Ceritakan kepadaku tentang tanda-tandanya.” Lalu Baginda menjawab, “Apabila hamba perempuan melahirkan tuannya. Dan apabila kamu melihat orang yang tidak berkasut, tidak berbaju, miskin dan pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan.”

Kemudian lelaki itupun pergi. Maka akupun menunggu beberapa hari. Kemudian Rasulullah SAW berkata, “Wahai Umar, tahukah kamu siapakah orang yang bertanya itu?” Aku menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya dia adalah Jibril. Dia datang untuk mengajar kamu tentang ad-Din kamu.”

(HR Muslim)

No comments:

Post a Comment