Thursday, 27 February 2014

Anak solehah yang tidak kesampaian

Anak solehah yang tidak kesampaian

"Nida nak jadi anak yang solehah!"

Itu katamu waktu kecil. Sungguh comelnya kamu. Mak pun tak sangka kamu akan pergi dahulu.

Tetapi kamu semakin membesar dengan didikan yang baik dari segi akademik, tetapi tidak pada agama. Apabila Mak mahu kamu belajar agama, kamu marah.

Mak MARAH dengan kamu!

Kenapa Mak marah?
Sebab Mak sayang kamu. Mak nak sangat kamu jadi anak yang solehah, tetapi sayangnya, kamu selalu buat Mak sakit hati. Agaknya apa balasan buat anak yang membuatkan hati ibunya sakit hati ye? Hatta membuatkan Mak menitis air mata walau sebutir pun akan menghumban kamu ke Neraka. Tetapi ada kamu tahu Mak menangis sebab kamu?

Kadang-kadang Mak nak juga tengok kamu macam anak dara jiran sana, dengar kata, kuat agama. Kalau mak dia panggil, laju je dia datang. Tetapi kamu kalau mak panggil kamu jawab apa?

"Apa ni panggil-panggil? Nak duduk pun tak senang."

Aduh, luluh hati Mak. Tetapi siapalah Mak ni kan. Kalau pakwe kamu minta tolong, laju je kamu tolong, siap minta tolong Mak lagi kalau pakwe kamu dalam kesusahan. Mak pun demi bakal menantu yang kamu sayang sangat tu, Mak turutkan je, tetapi kalau Mak minta tolong, senang je kamu jawab:

" Kejap lagilah Nida buat."

Mak tahu kamu penat belajar. Yelah, orang lain belajar pun sampai ke dapur, kamu belajar sampai ke menara gading tu, tiap-tiap bulan Mak tengok kamu minta duit dengan Ayah. Bukan main lagi minta sedangkan Mak tahu kamu ada biasiswa, jadi ke mana duit kamu? Kamu buat apa duit banyak-banyak? Berjoli? Belanja pakwe kamu?

Kamu kena ingat, kita orang miskin, bukan orang kaya, Ayah kamu membanting tulang nak dapatkan duit, sanggup bercucuk tanam untuk mendapat duit lebih supaya kamu tak susah di sana, tetapi Mak dengan macam-macam cerita daripada kawan yang satu Universiti dengan kamu. Apa yang mereka kata?

" Nida tu makcik, hari-hari keluar dengan pakwe dia."

Mak hanya mampu menunduk dan berdoa supaya kamu tidak melakukan perkara yang -dilarang agama. Kadang-kadang Mak mahu menafi segala yang dikata, tetapi apabila Ayah kamu sendiri yang nampak, sedihnya tak terkata. Nak tahu apa ayah kamu mahu buat?

" Aku nak rotan sampai mati dan heret balik ke rumah ni! Tiada guna pergi belajar jauh-jauh tetapi alih-alih memalukan muka aku ni!"

Tetapi Mak halang ayah kamu buat begitu. Mak kata kasihani kamu, tetapi kamu setelah mendengar apa yang ayah kamu katakan, kamu melarikan diri daripada kami. Kamu tahu tak? Ayah kamu sangat menyesali setelah apa yang dikatakannya.

" Dulu Nida selalu sebut, dia nak jadi anak solehah, tetapi kini, jangankan anak solehah, isteri solehah pun dia takkan mampu jadi setelah menyakiti hati kita macam ni."

Itulah yang terluah daripada kata Ayah kamu. Dia mahu kamu pulang, tetapi tidak pernah kamu pulang. Agaknya kamu dah lupakan kami. Saban tahun kami menunggu. Di Hari raya, di awal tahun baru, tidak pernah pula kamu muncul dan tiba-tiba, kamu muncul dengan keadaan yang sangat menyedihkan.

" Mak Ayah, ampunkan dosa Nida, Nida dah tak lama lagi. Nida dah tak lama lagi!"

Apa yang tak lama lagi ni? Nida, jangan takutkan Mak dan Ayah. Lalu Nida menceritakan bahawa dirinya sudah berkahwin dengan seorang lelaki yang diharapkan untuk menjaganya, tetapi lain yang jadi. Dirinya didera dan akhirnya jatuh sakit. Nida melarikan diri kerana tidak sanggup lagi didera.

" Nida nak jadi isteri solehah, tetapi Nida tahu ini balasannya kerana tidak menjadi anak solehah."

Mak dan Ayah sebak melihat keadaan kamu. Biarlah kami jaga kamu dengan keadaan kamu yang sebegitu lemah. Kamu pun menuntut fasakh daripada suami kamu dan akhirnya kamu bebas, tetapi sayangnya. Belum sempat apa-apa, Mak terdengar kamu melafazkan satu kalimah yang membuatkan Mak takkan lupa sampai bila-bila.

" Mak, Nida sayang Mak, izinkan Nida pergi dahulu ye?"

Dengan sekali lafaz kalimah syahadah, kamu pergi meninggalkan Mak. Mak nak meraung, tetapi ayah kamu marah, katanya tidak elok meratapi sebegitu, tetapi Mak tahu, dari sudut hati, ayah kamu, dia sedang menangisi kerana tidak menyangkan bahawa kamu akan pergi dahulu daripada kami.

Segala pengurusan pengebumian, kami lakukan sendiri. Sedih tak terkata. Kamu pergi dengan tenang. Seolah-olah segalanya telah selesai.

Kini, Mak mengharapkan kamu tenang di sana, Mak maafkan kamu. Ketahuilah Mak sayang kamu selamanya.

Kamu anak solehah yang tidak kesampaian.

p/s: Jangan hanya memikirkan diri kita sendiri wahai perempuan. Cubalah untuk menjadi anak yang solehah sebelum bermimpi untuk menjadi isteri yang solehah. Buruk balasannya sekiranya menderhaka ibu bapa kamu.

No comments:

Post a Comment